Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihat mempertimbang secara serius surat terbuka Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) yang memintanya untuk bersara.

Ia petanda zaman Anwar berpolitik sudah berakhir dan rakyat tidak mahu lagi bersolidariti bersamanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, rakyat sudah mula menolak Anwar secara total terutama selepas isu pertukaran Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

"Rakyat sudah muak dan tidak mahu lagi ambil tahu tentang apa sahaja yang berlaku terhadap Anwar.

"Setiap langkah yang dibuat Anwar semasa isu Selangor membuktikan campur tangannya selama ini menyusahkan rakyat," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Sohaimi mengulas surat terbuka Koordinator Pusat LENSA, Ekhsan Bukharee yang meminta Anwar menghentikan gesaan kepada rakyat untuk berpanas di atas nama solidariti.

Pada 28 dan 29 Oktober ini, Anwar akan menghadapi perbicaraan dan keputusan rayuan Kes Liwat II di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Kata Sohaimi, Anwar harus segera menghabiskan baki hayatnya dengan beribadat dan bersama keluarga dari berterusan dituduh menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat (PR).

Seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berharap Anwar dapat menghentikan taktik menyusahkan rakyat untuk meraih simpati dalam isu peribadinya.

"Tindakan ini menyebabkan imej negara tercalar, sistem ekonomi terjejas dengan sikap Anwar ini.

"Apa yang diperkatakan LENSA adalah kebenaran. Mana-mana pihak pun boleh berfikir tindak tanduk Anwar ini adalah sesuatu yang akhirnya merugikan negara," ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pandangan LENSA disifatkan remeh dan usaha memperlekehkan Anwar.

"LENSA tidak faham makna demokrasi. Mereka perlu belajar perlembagaan negara dan asasnya sekali," jelasnya.

Kenyataan Shamsul disusul seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya LENSA.

"Siapa ini? Saya tidak kenal LENSA.

"Mereka boleh kata apa-apa, apa pendirian dan relevan mereka membawa isu ini?," soalnya.