IPOH: Walaupun mempunyai jadual padat ketika program di Ipoh hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menziarahi rakan sekolahnya semasa menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang tidak ditemui lebih 50 tahun.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Ahmad Fawzi Shafii, 75, itu berlangsung ceria apabila Ahli Parlimen Tambun itu bergurau dan mengusik Ahmad Fawzi sambil mengimbau 'kenakalan' mereka ketika bersekolah.

Anwar dan Ahmad Fawzi meninggalkan bangku sekolah pada tahun 1966 dan bersama-sama menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) pada 1967.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit di rumah rakannya itu di Taman Desa Sri Ampang, di sini, dan turut merakam gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

Ahmad Fawzi yang juga pernah sebilik dengan Anwar ketika menuntut di UM, didiagnosis sebagai menghidap skizofrenia dan kini terlantar di rumah sejak dua bulan lalu.

Menurut adik bongsu Ahmad Fawzi, Dr Jama'iyah, 62, mereka sekeluarga gembira apabila dimaklumkan bahawa pemimpin negara itu akan datang ke rumah untuk menziarahi abangnya.

Malah katanya, abangnya itu juga amat terharu sehingga mengalirkan air mata ketika dimaklumkan mengenai kunjungan tersebut.

"Walaupun ingatannya tidak berapa kuat lagi kerana faktor usia, namun dia masih ingat kawan-kawan lama.

"Ketika Presiden Alumni MCKK beritahu Anwar mahu datang ke rumah pun, dia menangis sebab terharu. Dia ketua kelas Anwar semasa di MCKK," katanya.

Anwar berada di Ipoh untuk merasmikan sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Indera Mulia, hari ini.