Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan bahawa beliau pernah bersetuju dengan pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu.

Katanya, ini kerana terdapat beberapa syarat yang pada ketika itu masih belum dipenuhi sebelum melaksanakannya.

"Sebab itulah GST tidak pernah dilaksanakan sewaktu saya menjadi Menteri Kewangan," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, syarat-syarat tersebut termasuk urus tadbir yang betul, ketelusan, tiada ketirisan dan pembaziran serta bebas daripada amalan rasuah.

Selain itu, Anwar juga menekankan bahawa GST perlu dimulakan dari peringkat bawah.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penerangan Perdana GST dua hari lepas yang disifatkannya 'mengelirukan'.

Menurut Najib, Anwar telah menyokong perlaksanaan sistem GST di negara ini semasa memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1992.

Katanya perlaksanaan GST telah diutarakan oleh Anwar dalam perbentangan bajet tahunan negara serta menyebut akan melaksanakannya pada tahun berikutnya (1993) namun telah membuat 'pusingan U'.

Najib dalam penerangannya terhadapt GST berkata, pelaksanaan sistem itu pada April 2015 bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya ia adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.

Jelas beliau, kerajaan telah mengambil kira semua aspek termasuk bebanan rakyat sebelum melaksanakan GST.