Kes rasuah KSU: SPRM rampas wang tunai RM550,000 lagi
Hakim Rahman
Januari 7, 2017 09:49 MYT
Januari 7, 2017 09:49 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai kira-kira RM550,000 lagi dari rumah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disyaki terlibat dalam rasuah, yang ditahan pada Rabu lalu.
Sumber memberitahu wang tunai tersebut termasuk mata wang British Pound Sterling, EURO dan Singapore Dollar.
Difahamkan wang tersebut telah disembunyikan oleh salah seorang anak suspek di dalam rumahnya di USJ, Subang Jaya.
"Kita telah merakamkan percakapan anak suspek tersebut yang berusia dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan" ujar sumber itu.
Bagaimanapun, tidak ada tangkapan baru setakat ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato Azam Baki (Operasi) ketika dihubungi mengesahkan rampasan wang tunai itu tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kes tersebut.
Wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta dirampas dan disita setakat ini oleh SPRM, susulan penahanan Datuk Mohd Arif Ab Rahman, 59, di kediamannya di USJ, Subang Jaya manakala dua anak lelakinya yang berusia 29 dan 34 tahun ditahan semasa diambil keterangan di ibu pejabat SPRM pada Rabu.
KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Jan bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.