Keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin baik, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelasnya, ketika ini, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) yang juga suaminya itu memerlukan rehat yang secukupnya.

Pada masa sama, Anwar akan terus menerima rawatan selanjutnya bagi memastikan beliau kembali sihat sepenuhnya.

"Alhamdulillah, beliau semakin baik selepas dimasukkan ke wad dan menerima rawatan daripada kumpulan doktor. Jadi kami sangat gembira dengan perkembangan ini.

"Beliau akan menjalani prosedur ujian perubatan selanjutnya dan memerlukan rehat secukupnya," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tadbir Urus Korporat dan Kemampanan ASEAN 2018 di sini, hari ini.

Anwar dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Sabtu lalu berikutan masalah bahu kanan serta bahagian belakang beliau.

BACA: Anwar dinasihat tidak terima pelawat semasa rawatan

BACA: Anwar sakit belakang, Azizah batal hadir ke majlis Aidilfitri