SEPANG: Kementerian Pengangkutan meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapat laporan penuh daripada Grab Malaysia susulan penurunan kadar tambang per kilometer bagi rakan penghantar.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata penurunan kadar bayaran tersebut adalah langkah komersial yang diambil syarikat perkhidmatan e-hailing itu.

"Itu keputusan komersial (turunkan kadar tambang) Grab. Kita belum ada apa-apa maklumat lagi.

"Saya akan minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APD) untuk berbincang dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Grab," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Berkuat kuasa semalam, Grab menaikkan tambang daripada 20 sen kepada 43 sen, manakala tambang sekilometer dikurangkan daripada 70 sen kepada 25 sen.

Menurut Grab, kadar tambang disemak semula untuk memberikan bayaran lebih berbaloi bagi masa diambil untuk melengkapkan perjalanan, dan kurang bagi jarak perjalanan.

Bagaimanapun, pemandu grab meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penurunan tambang sekilometer daripada 70 sen kepada 25 sen kerana didakwa tidak berbaloi.