KUALA LUMPUR:Malaysia selaku tuan rumah APEC 2020 percaya bahawa kesemua 21 anggota ekonomi akan bersatu dalam usaha merumuskan pernyataan visi peringkat tinggi APEC bulan depan.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob juga optimis perang dagang Amerika Syarikat-China tidak akan menghalang deklarasi tersebut dicapai.

Katanya, untuk pertama kali dalam sejarah, para pemimpin APEC gagal mencapai kata sepakat pada sidang kemuncak di Papua New Guinea dua tahun lalu lantaran krisis antara dua gergasi ekonomi tersebut.

"Apa yang kami lakukan sejak awal tahun ini adalah memulakan pertemuan dan perbincangan di mana kami telah mengemukakan saranan agar semua ekonomi, termasuk China dan AS agar dapat secara bersama mencapai matlamat APEC 2020.

"Jadi, dari pemerhatian saya sebagai Pengerusi SOM, rundingan ini amat bermanfaat dan ini dapat disaksikan menerusi pencapaian yang telah dicapai setakat ini," katanya pada Taklimat Media Minggu Pemimpin Ekonomi APEC yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata, Malaysia yang menerajui diskusi secara maya itu telah menghasilkan tujuh pernyataan setakat ini merangkumi perdagangan, kesihatan, kewangan, wanita, perusahaan kecil dan sederhana dan terbaharu mengenai keselamatan makanan.

Mengenai cadangan China untuk mewujudkan sub-dana kerjasama serantau yang bertujuan memerangi COVID-19 dan memfasilitasi pemulihan ekonomi, Hairil berkata cadangan tersebut masih dipertimbangkan dan masih menunggu inisiatif ini disahkan.

Malaysia akan mengadakan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AELM) pada 20 November ini secara maya; buat kali pertama dalam sejarah APEC susulan situasi penularan pandemik COVID-19.

Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia bertekad untuk memastikan kejayaan mesyuarat-mesyuarat APEC tahun ini.

AELM akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan disertai kesemua 21 pemimpin ekonomi APEC.

Pada mesyuarat itu, Matlamat Pasca-2020 rantau ini dijangka diperkenalkan -- dokumen dasar penting bagi menggantikan Matlamat Bogor yang akan mencapai tempoh matang pada akhir tahun ini.