KUALA LUMPUR: Arab Saudi mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah tanpa merekodkan sebarang insiden atau penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Isnin melaporkan Gabenor Mekah Putera Khalid Al-Faisal berkata kejayaan ini hasil kerjasama erat antara pasukan keselamatan, kesihatan dan lain-lain sepanjang musim haji kali ini.

"Dengan izin Allah, hasil perancangan yang teliti dan kerjasama semua pihak yang terlibat saya dengan ini mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Muhammad bin Salman yang telah menyediakan kemudahan infrastruktur serta petugas haji, keselamatan dan kesihatan demi keselesaan jemaah.

Arab Saudi menyediakan 279,628 kakitangan terdiri petugas haji, anggota keselamatan dan kesihatan untuk berkhidmat kepada hampir satu juta jemaah haji tahun ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi Fahad Al-Jalajel dalam ucapannya yang disiarkan di Twitter rasmi kementerian itu berkata lebih 520,000 kakitangan perubatan ditugaskan di 230 pusat kesihatan bagi menjamin kesihatan jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi.

"Walaupun kita masih lagi menghadapi ancaman COVID-19 dan bilangan jemaah haji dinaikkan kepada satu juta orang, hanya 38 kes terpencil jangkitan COVID-19 sahaja dilaporkan, tanpa jangkitan sekunder sepanjang musim haji 1443 Hijrah," katanya.

-- BERNAMA