Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad, Arul Kanda untuk membuat keputusan tentang tindakan seterusnya yang mahu diambil.

Guan Eng mengulas kenyataan Arul Kanda sebelum ini yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan berbentuk serangan peribadi dan berbaur fitnah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Arul Kanda memaklumkan akan mendapatkan nasihat perundangan berhubung kenyataan Guan Eng tersebut.

“Arul Kanda membuat banyak janji. Saya tidak tahu apa dia akan lakukan selepas ini, tapi jika dia mahu saman, dipersilakan.

“Dia perlu sedar dia kini satu-satunya kakitangan 1MDB, dan 1MDB di bawah Kementerian Kewangan,” kata Guan Eng dalam sidang media petang tadi.

Dalam sidang media yang sama, Guan Eng mengesahkan bayaran yang dibuat oleh Khazanah dan Bank Negara terhadap kementerian telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Sementara itu, Guan Eng turut menjelaskan kenyataan yang dibuat tentang hutang negara yang kini mencecah RM 1 trilion, dibuat atas prinsip kecekapan, kebolehpercayaan dan ketelusan.

Biarpun kenyataan itu didakwa sesetengah pihak menyebabkan kesan negatif kepada pasaran saham, namun kerajaan percaya berlaku jujur itu lebih penting demi kepentingan rakyat.