Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan semua anggota ASEAN perlu memastikan keselamatan prasarana maklumat kritikal mereka dan saling bekerjasama bagi meneutralkan dan menundukkan ancaman jenayah siber.

Jelas beliau jenayah siber bukan sekadar mengancam ekonomi tetapi juga aspek ketenteraan dan masyarakat, justeru ASEAN tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap isu ini.

"Penjenayah siber tidak peduli akan sempadan negara, justeru amat penting bagi negara anggota ASEAN bertindak balas terhadap tindakan mereka - malah niat mereka - secara bersama-sama," kata Najib dalam jawapan bertulis kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh Bernama bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, pada Khamis.

Berdasarkan laporan Intel Security dan Center for Strategic and International Studies pada 2014, jenayah siber menyebabkan ekonomi global kerugian US$575 bilion setahun, bersamaan 0.8 peratus daripada ekonomi global.

Ini kata Najib menunjukkan jenayah siber merupakan ancaman yang semakin meningkat kepada negara, syarikat dan juga individu di seluruh dunia.

"Saya pernah memberi amaran tentang perkara ini dahulu dan (saya) percaya kesedaran semakin meningkat dalam kalangan ASEAN bahawa kita perlu mengambil langkah meneutralkan ancaman ini. Saya yakin kita menuju ke arah yang betul," katanya.

Sebagai langkah pertama, Pelan Induk ICT ASEAN 2015 memberi penekanan khusus berhubung menggalakkan integriti rangkaian dan keselamatan maklumat yang akan menyumbang kepada keseluruhan keadaan kesediaan keselamatan siber dalam kalangan negara anggota.

Dalam satu pemukiman baru-baru ini, Menteri-menteri Pertahanan ASEAN mempertimbangkan penubuhan Kumpulan Kerja Pakar dalam format Campur mengenai keselamatan siber selepas masing-masing berkongsi kebimbangan berhubung peningkatan ancaman jenayah siber.