Malaysia mencadangkan ASEAN merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 bagi memberi tumpuan kepada aspek kewangan serta jaringan keselamatan sosial, makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu diusulkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 yang julung kali diadakan secara dalam talian pada Selasa.

Muhyiddin berkata, Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini.

“Ini termasuk memastikan kelancaran aliran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan; di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut. Malaysia menekankan bahawa ada hikmah di sebalik setiap krisis.

“Semua negara menghadapi masalah yang sama dan semua negara anggota ASEAN perlu bekerjasama bagi memastikan tidak ada siapa yang tercicir,” ujarnya.

Malah tegas Muhyiddin, ASEAN juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.

Malaysia pada masa sama, beliau turut menyeru negara anggota ASEAN agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini.

“ASEAN tidak boleh dibiarkan kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia.

“Malaysia juga menyokong penubuhan Dana Khas COVID-19 ASEAN untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan,” katanya.

Selain itu, ujar Muhyiddin, ASEAN perlu terus membangunkan rezab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rezab gudang simpanan sedia ada yang relevan bagi membantu keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan.

Menurut beliau, pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN, yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam (ASEAN EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik tersebut bersama-sama anggota ASEAN yang lain.