PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon sebagai Pengerusi Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu Syarikat Tujuan Khas (SPV) bagi membangunkan teknologi 5G di Malaysia.

Dalam kenyataan pada Isnin, MoF turut mengumumkan, Augustus Ralph Marshall sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan.

Kenyataan itu turut menyebut, tiga lagi individu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah iaitu Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Yusof Ismail, selain Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Datuk Muthanna Abdullah.

Lantikan tersebut adalah susulan pengumuman Rangka Tindakan Digital Malaysia, MyDIGITAL oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Februari lepas dan pengumuman oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenai pelancaran 5G di negara ini.

"Gabungan lantikan profesional dengan pengkhususan dalam sektor-sektor seperti kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersial di seluruh negara.

"Ahli pengurusan kanan DNB akan diumumkan pada masa yang terdekat," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata adalah penting bagi rangkaian 5G tersebut dilancarkan segera, secara sistematik dan profesional untuk memacu inisiatif pertumbuhan negara melalui MyDIGITAL bagi memastikan kemajuan sosioekonomi dan keterangkuman untuk semua rakyat.

"Kita tidak boleh ketinggalan ketika seluruh dunia pantas mengguna pakai teknologi seperti kecerdasan buatan, kenderaan pandu sendiri, robotik, Internet of Things atau IoT, pengkomputeran awan dan 'digital twin' untuk terus mencipta peluang baru bagi pertumbuhan masa hadapan," katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dilantik dan secara keseluruhannya merupakan gabungan bakat dan pengalaman yang amat sesuai bagi memastikan akses saksama kepada keupayaan 5G untuk rakyat dan perniagaan.

Tengku Zafrul berkata, bagi membantu Malaysia mencapai aspirasi 5G negara, kerajaan juga berharap dapat bekerjasama dengan sektor swasta dalam industri telekomunikasi domestik.

Menurutnya, menerusi fokus DNB kepada pelaburan infrastruktur 5G, pemain sektor swasta dapat menumpukan usaha mereka kepada penyampaian produk dan perkhidmatan yang lebih baik, tanpa dibebani oleh pelaburan yang besar atau perbelanjaan modal yang bertindih dengan kerajaan.

"Ini adalah satu situasi yang memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk pengusaha telekomunikasi, perniagaan dan pengguna demi penumpuan ke arah penyediaan 5G menjelang akhir 2021," kata beliau.

DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan yang lebih baik.

Menurut MoF, ini akan diuruskan berlandaskan kerangka tadbir urus yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap.

"Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G ini," katanya.Pelantikan tersebut turut menamakan, Augustus Ralph Marshall sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Pelantikan tersebut turut menamakan, Augustus Ralph Marshall sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pelantikan tersebut turut menamakan, Augustus Ralph Marshalls sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Digital