PUTRAJAYA: Saluran berita Astro AWANI berjaya merangkul Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 bagi kategori media elektronik pada Selasa.

Menerusi artikel bertajuk 'Rasuah terapung di tengah laut' hasil terbitan Izwar Muzzani Abdul Wahid, Astro AWANI membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam Majlis Anugerah Media SPRM yang berlangsung di Dewan Serbaguna SPRM, di sini.

SPRM | Astro AWANI menang Anugerah Media SPRM 2021


Terdahulu, Azam dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada media dalam memberi kerjasama serta pendedahan mengenai salah laku dan rasuah di negara ini.

Jelasnya, media memainkan peranan penting dalam memantau dan advokasi kepada masyarakat sementara pihak perundangan dan penguatkuasa pula menjalankan tugas mereka dalam menangani isu terbabit.

BACA: [LAPORAN KHAS]: Rasuah terapung di tengah laut

 Media memainkan peranan penting dalam memantau dan advokasi kepada masyarakat sementara pihak perundangan dan penguatkuasa pula menjalankan tugas mereka dalam menangani isu terbabit. - Foto Astro AWANI

"Kerjasama sebegini amat dialu-alukan dan SPRM amat menghargainya selari dengan tema Anugerah Media SPRM 2021 pada kali ini “Bersama Membanteras Rasuah” dan SPRM mengiktiraf media sebagai institusi yang begitu penting dalam amalan sistem demokrasi negara ini. 

"Dalam sistem demokrasi, media adalah kuasa atau tunjang keempat yang memainkan peranan memantau dan advokasi; sementara badan perundangan menggubal undang-undang, badan eksekutif melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang, dan badan kehakiman menguruskan proses keadilan," katanya.

Tambah Azam, sebanyak 24 penyertaan daripada agensi media tempatan tahun ini, iaitu 14 daripadanya bagi kategori media elektronik dan 10 penyertaan kategori media cetak.

Laporan Khas | Rasuah Terapung Di Tengah Laut

Laporan Khas | Siri 2 rasuah terapung di tengah laut