KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia mengkaji skim yang sesuai untuk diberikan kepada anggota yang bersara awal tanpa mendapat pencen.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata kajian menyeluruh sedang dijalankan bagi membantu anggota yang bersara awal untuk meneruskan kehidupan mereka selepas menamatkan perkhidmatan.

Beliau berkata ada veteran yang berhenti awal pada usia 40-an dan komitmen mereka masih panjang termasuk anak-anak yang masih bersekolah dan ansuran rumah serta kereta yang belum selesai dibayar.

"ATM akan mengkaji skim yang sesuai untuk diberikan kepada mereka ini supaya veteran tidak menjalani kesukaran hidup," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada 83 persatuan veteran ATM di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz.

Affendi berkata walaupun ATM memerlukan anggota muda namun pihaknya memerlukan perubahan secara holistik mengenai skim pencen untuk anggota.

Pada April lepas, Kementerian Pertahanan dalam cadangan untuk mewajibkan anggota ATM berkhidmat selama 21 tahun bagi melayakkan mereka menerima pencen.

Cadangan itu akan melibatkan pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 berkaitan peraturan pencen dan ganjaran.

Pada masa ini, anggota tentera mempunyai pilihan bersara iaitu 12, 15 atau 18 tahun perkhidmatan tanpa mendapatkan pencen.

-- BERNAMA