KUALA LUMPUR: Biarpun Australia dan United Kingdom (UK) merupakan sebahagian daripada Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), yang turut dianggotai Malaysia, ia tidak akan mempengaruhi pendirian negara berkenaan Pakatan Tiga Hala Australia, UK, dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendirian Malaysia jelas bahawa kehadiran AUKUS di Laut China Selatan boleh menimbulkan ketegangan dan menggugat kestabilan di rantau ini.

Namun, jelas Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, situasi berhadapan dengan geopolitik kuasa besar bukan mudah, dan Malaysia akan terus bersuara untuk memastikan tiada kompromi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kelebihan yang ada pada Malaysia ialah hubungan kita dengan 10 negara ASEAN, hubungan kita dalam FDPA, hubungan dua hala dengan negara-negara tertentu.

“Ini meletakkan Malaysia dalam posisi yang bukan saja dapat mengimbangi kuasa besar di rantau ini, tetapi pada masa sama, cukup dihormati juga oleh kedua-dua kuasa polar di Laut China Selatan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH – Bukit Bendera) yang mahu mengetahui sekiranya keahlian Australia dan UK dalam kedua-dua FPDA dan AUKUS, mempengaruhi polisi pertahanan negara.

Sebelum itu, Wong ingin mengetahui relevan FPDA selepas 50 tahun penubuhannya, dan bagaimana perjanjian itu boleh membantu negara menghadapi cabaran ketenteraan masa depan.

Menjawab soalan itu, Hishammuddin berkata, matlamat utama FPDA demi pertahankan keselamatan Malaysia dan Singapura, di mana setiap negara anggota bertekad berunding mengenai langkah harus diambil sekiranya berlaku ancaman luar terhadap kedua-dua negara tesebut.

Sejak penubuhannya, jelas Hishammuddin lagi, negara anggota telah menjalin kerjasama ketenteraan yang rapat, melalui eksesais konvensioanl, dan meningkatkan keupayaan negara masing-masing.

“Melangkah ke hadapan, kesemua negara anggota FPDA telah menyuarakan komitmen bagi membangunkan tiga elemen – mengukuhkan hubungan negara anggota dalam komitmen strategik, meningkatkan kapasiti seiring keperluan keselamatan semasa, dan memperkukuh koordinasi antara angkatan tentera masing-masing.

“Kita berpendapat FPDA masih relevan dan masih mampu berperanan, dan boleh membantu negara menghadapi cabaran keselamatan di masa akan datang,” katanya lagi.