PEMIMPIN awam Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dikenakan dua tuduhan jenayah baharu oleh mahkamah negara itu.

Beliau tampil di mahkamah melalui pautan video pada Isnin, sebulan selepas rampasan kuasa tentera yang mencetuskan tunjuk perasaan berpanjangan sehingga hari ini.

Pertuduhan baharu ke atas Suu Kyi ialah melanggar undang-undang komunikasi dan berniat untuk menimbulkan rusuhan orang ramai.

Suu Kyi, 75 tahun, sebelum ini berdepan tuduhan jenayah yang tidak jelas kerana memiliki walkie-talkie tanpa izin, serta melanggar sekatan COVID-19 dengan mengadakan acara kempen sepanjang pilihan raya tahun lalu.

Ikon demokrasi itu dikatakan ditahan di sebuah rumah di ibu kota Naypyidaw, sebuah kota terpencil yang dibina oleh tentera semasa pemerintahan diktator sebelumnya.