Awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas dekat Pulau Bidan, Yan

Bernama
Mei 12, 2023 05:14 MYT
Ops Carilamat digerakkan bagi mencari nelayan yang hilang di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, di Kuala Kedah pada Khamis. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Seorang awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas ketika sedang memukat bilis di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, Yan, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata mangsa Donbagee Tingsa, 33, dipercayai terjatuh dari bot pada pukul 2.25 petang sebelum Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada 2.35 petang sejurus menerima maklumat.
Beliau berkata ketika kejadian, bot nelayan warga tempatan yang berpangkalan di Tanjung Dawai, Kuala Muda sedang melakukan aktiviti memukat ikan bilis sebelum menyedari mangsa tiada di atas bot.
Katanya, usaha mengesan mangsa diteruskan pagi ini yang turut disertai Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan meliputi keluasan kira-kira 9.38 batu nautika persegi.
"Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB)," katanya.
Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerusi talian 04-7310579.
-- BERNAMA
#awak-awak warga Thailand #lemas #pulau bidan #Maritim Kuala Kedah