SHAH ALAM: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengesan satu sindiket penipuan yang menggunakan nama pegawainya bagi membuat perolehan dan pembelian aset daripada sebuah syarikat perabot.

LHDNM dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, sindiket itu menyediakan dua kad nama palsu menggunakan nama pegawai LHDNM bagi membolehkan mereka membuat pesanan pembelian peralatan perabot untuk kegunaan di pejabat lembaga tersebut.

“Bagi meyakinkan mangsa, sindiket ini menyediakan Dokumen Pesanan Pembelian (Purchase Order) palsu bagi tujuan yang tidak bermoral ini.

“Dokumen tersebut mengandungi butiran jenis-jenis peralatan perabot yang ingin dipesan serta turut dilengkapi dengan tandatangan palsu pegawai,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, LHDNM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawainya untuk memperdayakan mangsa.

Menurut kenyataan itu, LHDNM amat memandang serius perkara itu dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, e-mel mahupun surat atau dokumen yang meragukan.

“Dapatkan pengesahan daripada LHDNM terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi dalam talian.

“Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) dan HASiL Live Chat.

“Selain itu, boleh juga dapatkan borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” menurut kenyataan itu.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.