KUALA LUMPUR: Menyasarkan golongan wanita yang kesunyian sebelum mendapat kepercayaan mereka merupakan antara modus operandi yang dilakukan satu sindiket penipuan melalui media sosial  yang dikenali sebagai ''Parcel Scam', sehingga mengakibatkan mangsa kerugian ribuan ringgit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak, sebanyak 115 kertas siasatan telah dibuka melibatkan sindiket penipuan itu sejak Januari hingga Ogos tahun ini di sekitar ibu negara.

Katanya, nilai kerugian keseluruhan kes tersebut berjumlah RM1,641,359.96.

"Kes terbaharu melibatkan tiga laporan polis dan kesemua mangsa telah berkenalan dengan seorang individu melalui media sosial.

"Ketiga-tiga mangsa dalam kes tersebut merupakan ibu tunggal yang mana kenalan alam maya telah memaklumkan ada menghantar bungkusan dari luar negara dan mangsa kemudian diminta untuk membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan tersebut.

"Namun begitu, bungkusan yang dijanjikan tidak diterima dan kes melibatkan kerugian berjumlah RM31,500," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

Mengulas lanjut, Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui media sosial.

"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa.

"Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," ujarnya lagi.