Ayuh kembali ke sekolah! 24,410 prasekolah, tabika dibenarkan mulai 1 Julai

Hasimi Muhamad
Jun 15, 2020 07:23 MYT
Menurut Ismail Sabri, perincian SOP berhubung operasi prasekolah akan dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam masa terdekat. - Gambar hiasan
Taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) termasuk Tabika Kemas yang di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Tabika Perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan serta semua prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan swasta dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai ini.
Kebenaran membenarkan operasi itu melibatkan kira-kira 24,410 institusi pendidikan tersebut yang berdaftar di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan meneliti dan bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan secara menyeluruh.
“Jumlah tadika yang terlibat; prasekolah sebanyak 6,212 buah; swasta (7,887); Kemas (8,530); dan Tabika Perpaduan (1,781).
“Kita telah pun menerima SOP dan bersetuju dengan SOP yang dibentangkan dan cadangan prasekolah dan tadika dibuka pada 1 Julai 2020.
“Mengenai SOP, ia lengkap meliputi sebelum kemasukan pelajar, sewaktu mereka belajar di kelas dan tabika dan begitu juga ketika mereka pulang, SOP cara mereka bermain dalam tabika serta waktu makan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Menurut Ismail Sabri, perincian SOP itu akan dibentangkan oleh KPM dalam masa terdekat.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #Kementerian Pendidikan #operasi #pendidikan #perpaduan #sekolah #SOP