KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azalina Othman hari ini mencadangkan agar Peguam Negara dilantik sebagai Menteri Undang-Undang.

Berucap ketika membahaskan Titah Diraja, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, pelantikan tersebut membolehkan Peguam Negara hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab isu-isu berkaitan perundangan.

Menurut bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu juga, pelantikan berkenaan membolehkan pengasingan tugas kepada individu berbeza yang menasihati kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya nak cadangkan kepada kerajaan, kalau Menteri Undang-Undang boleh respon, bahawa kita pernah mempunyai seorang menteri Kabinet, yang juga Peguam Negara iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tan Sri Hamzah (Abu Samah).

"Jadi sekurang-kurangnya Peguam Negara boleh datang ke Dewan (Rakyat) dan menjawab semua soalan undang-undang.

"Tak payah menteri menunggu masa dan memberi jawapan bertulis, yang kadang-kadang lengkap dan tak lengkap," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14, hari ini.



Peguam Negara harus bebas, tidak boleh menjadi pendakwa raya - Azalina

Allahyarham Abdul Kadir memegang jawatan di Kementerian Undang-Undang Kehakiman pada tahun 1970 hingga 1975.

Sementara,  Hamzah menerajui kementerian sama pada tahun 1978 hingga 1982. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn telah melantik Hamzah sebagai Menteri Undang-undang .


* Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.