KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Rabu memberikan penjelasan lanjut mengenai keputusannya untuk menamatkan inkuiri terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pada 18 Januari lalu, Suruhanjaya itu berkata ia tidak dapat membuat penemuan konklusif bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

“Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka di atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Hari ini, Suruhanjaya itu melalui satu kenyataan mengesahkan dengan lebih jelas bahawa tindakan Azam tidak melanggar Seksyen 25 (4) SICDA.

“[Tan Sri Azam Baki] adalah penama akaun saham dan beliau mempunyai kuasa ke atas akaun saham tersebut.

“[Tan Sri Azam Baki] TSAB telah mengendalikan akaun saham yang dibukanya dan telah menyampaikan arahan untuk jual, beli serta pemindahan saham daripada akaun tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

SC sebelum ini berkata, selaku pengawal selia pasaran modal, bidang kuasa kawal selianya ditentukan oleh SICDA, di samping Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA) dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Pada 5 Januari lalu, Azam telah menjelaskan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saham yang mempunyai namanya sebenarnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki dan digunakan untuk tujuan pembelian saham pada 2015.



SPOTLIGHT! BACA SEMUA BERHUBUNG AZAM BAKI DI SINI



LPPR juga berpuas hati bahawa Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary atau beneficial bagi pembelian mahu pun pemilikan saham-saham berkenaan.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang menambah, kesemua saham tersebut juga telah dipindahkan semula kepada Nasir dalam tahun berkaitan.