KUALA LUMPUR : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap aktivis Lalitha Kunaratnam atas penerbitan artikel 'Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?'.

Tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, peguamnya, Megat Abdul Munir, berkata artikel-artikel yang diterbitkan oleh Lalitha bersifat sensasi, skandal, menjengkelkan dan menjelekkan beliau sehingga memberi kesan serta gambaran buruk kepada pembaca.

Katanya, artikel tersebut telah didrafkan, diterbitkan dan kemudian diterbitkan semula dengan niat-niat jahat.

"Dalam erti kata lain, kenyataan fitnah artikel-artikel tersebut diterbit dan diterbitkan semula tanpa membuat sebarang pengesahan fakta secara terus atau memberi peluang kepada plaintif untuk mengemukakan maklum balas terlebih dahulu.

"Menerusi artikel tersebut, defendan (Lalitha) memfitnah plaintif dengan membuat kesimpulan bahawa plaintif adalah seorang penjawat awam yang korup dan/atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM bagi tujuan kepentingan beliau sendiri dan/atau adik-beradiknya," kata beliau pada Rabu.

BACA SEMUA BERHUBUNG SPRM DAN AZAM BAKI DI SINI

Ujarnya, tindakan Lalitha menerbit dan kemudian menerbitkan semula kenyataan media Peguam Defendan juga didakwa satu cubaan untuk membuatkan plaintif 'dibicarakan melalui media' dan memenangi persepsi orang awam.

Selain tuntutan saman RM10 juta, Azam turut menuntut perintah mahkamah supaya Lalitha memadam kenyataan atau artikel berkenaan dalam masa tiga hari dari tarikh penghakiman dan melalukan permohonan maaf secara terbuka.