Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling dan juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan kira-kira pukul 11 pagi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Manakala, abangnya, Abdul Latif pula ditahan di Sungai Buloh, Selangor pada pukul 11.30 pagi.

Sumber berkata, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Kata sumber, penahanan itu bagi membantu siasatan Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Sementara itu, sumber memberitahu anak tiri kepada bekas perdana menteri, Riza Aziz turut dipanggil ke pejabat SPRM bagi dirakam keterangan semula.

"Bagaimanapun SPRM tidak menahan Riza Aziz," katanya.