KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan beberapa kali menolak peluang berlumba di Eropah dan Jepun yang menawarkan keuntungan besar serta kemasyhuran, demi komitmennya terhadap negara tercinta.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata dengan memilih segala tawaran yang datang kepadanya itu sudah pasti memberikan banyak kelebihan kepada diri sendiri serta perjalanan kariernya.

Namun, beliau berkata semua perkara berkenaan akan mengganggu perancangan dan persiapan menghadapi kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara.

"Saya sedia maklum yang Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada di mana saya telah berada pada hari ini.

"Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali kepada masyarakat dan juga negara tercinta," kata beliau dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Mengulas mengenai beberapa tawaran ditolaknya secara baik, Mohd Azizulhasni yang diberi julukan "The Pocket Rocketman" itu berkata beliau ditawarkan menyertai pasukan berbasikal lebuh raya terkenal Drapac Professional Cycling di awal penghijrahannya ke Melbourne, Australia.

Selain itu, Mohd Azizulhasni berkata beliau beberapa kali "dirisik" Japanese Keirin Association (JKA) untuk berlumba di Jepun, malah turut dijemput dengan penuh tradisi.

"Saya diberikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cap mohor, mengagumkan. Menjadi cita-cita setiap pelumba keirin untuk dipilih dan berlumba di sana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni berkata beliau turut mendapat banyak tawaran berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti Siri Enam Hari yang terkenal di benua itu serta mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata semua tawaran dan peluang itu ditolak kerana mengutamakan tanggungjawab kepada pasukan negara.

-- BERNAMA