Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabar tunggalnya Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu selepas menang di 23 daripada 28 cabang di Sarawak yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini.

Keputusan pemilihan di satu cabang iaitu Julau bagaimanapun digantung disebabkan kemungkinan berlakunya serangan siber dan sistem pemilihan yang diceroboh.

Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi Timbalan Presiden menang di Cabang Batang Lupar, Bandar Kuching, Lanang, Batang Sadong, Saratok, Lawas, Baram, Kanowit, Kota Samarahan, Bintulu, Selangau, Mukah, Mas Gading, Hulu Rajang, Lubok Antu, Betong, Stampin, Sri Aman, Puncak Borneo, Sarikei, Petra Jaya, Santubong dan Sibu.

Rafizi Ramli hanya menang di Serian, Sibuti, Miri, Limbang dan Kapit.

Ketua Koordinator Pemilihan PKR Sarawak, Desmond Kho berkata Mohamed Azmin menang dengan majoriti 2,136 undi.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperolehi 4,020 undi manakala Rafizi mendapat 1,884 undi.

-- BERNAMA