PKR hari ini mendakwa UMNO dan Utusan Malaysia cuba mengheret ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah atas isu pencerobohan Lahad Datu.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata Utusan sepatutnya menggugurkan tuduhan liar mereka terhadap Anwar.

"Utusan adalah akhbar milik UMNO, pegawai dari Pejabat Perdana Menteri merupakan ahli lembaga pengarah akhbar itu.

"Najib dan UMNO bertanggungjawab penuh terhadap serangan liar dan bermotifkan politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Utusan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu juga mendakwa Utusan Malaysia mengamalkan corak kewartawan yang jijik dan memalukan.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa juga berkata Utusan Malaysia dan UMNO tidak dapat menyediakan walau satu bukti yang boleh mengaitkan Anwar atau mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat terlibat dalam insiden di Lahad Datu.

"Adalah mengejutkan Bahawa UMNO dan Utusan, tidak teragak-agak dalam menyebarkan fitnah yang berkaitan keselamatan negara," katanya.

Pada 8 Mac tahun lepas, Anwar mengemukakan saman terhadap Utusan, Ketua Pengarang Kumpulannya Datuk Abdul Aziz Ishak , Kumpulan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Pengarang Urusan TV3 Datuk Shahruddin Abdul Latif dan editor berita Buletin Utama Eng Boon Seng .

Semua defendan berhujah mereka bertanggungjawab terhadap penyiaran rencana dan berita serta mendakwa mereka menlaksanakan kewartawana yang bertanggungjawab.

Awal minggu ini, Utusan memohon untuk melucutkan kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop daripada mendengar kes tersebut, atas alasan hakim tersebut mengadili kes yang menyebelahi Anwar sebelum ini.

Namun, Mahkamah Tinggi dilaporkan menolak permohonan Utusan dengan alasan kes sebelum ini tiada kaitan dengan terbaru.