Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menziarahi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menerima rawatan di sebuah hospital pakar di Singapura.

Mohamed Azmin disertai isteri Datin Seri Shamsidar Taharin dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beberapa keping gambar mengenai kunjungan itu dimuat naik dalam akaun Facebook Muhyiddin. Beliau ditemani isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Dalam catatan di akaun Twitternya, Mohamed Azmin berkata Muhyiddin berada dalam keadaan ceria ketika menerima kunjungan tetamu dari Kuala Lumpur itu.

"Alhamdulillah, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin sembuh dan bertenaga. Mendoakan semoga beliau segera pulih dan kembali ke tanah air," katanya.



Muhyiddin menjalani pembedahan pada 12 Julai lalu bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri sementara ketiadaan Muhyiddin.

-- BERNAMA