Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan bahawa peruntukan sebanyak RM9.7 juta bagi kerja mencantikkan pintu gerbang Kota Darul Ehsan di Lebuh Raya Persekutuan dikeluarkan secara tidak telus.

Beliau berkata peruntukan berkenaan telah dibahaskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini dan mendapat persetujuan semua anggota dewan.

"Perkara ini telah dibawa ke sidang dewan termasuk peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan kubah serta bumbung Masjid Negeri dan menaik taraf tempat letak kereta Perpustakaan Raja Tun Uda.

"Ini adalah kali pertama dalam tempoh lebih 30 tahun untuk mencantikkanpintu gerbang itu sejak ia dibina malah ia dibuat secara tender terbuka," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES), di sini hari ini.

Beliau menjawab kenyataan bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Che'GuBard yang mendakwa jumlah peruntukan bagi pembaikan pintu gerbang itu satu pembaziran.

Pada Jumaat lepas, Badrul Hisham menerusi blognya mendakwa jumlah wang yang dibelanja kerajaan Selangor itu terlalu tinggi sedangkan ia boleh disalurkan bagi membantu golongan kurang bernasib baik atau diberi sebagai modal kepada golongan usahawan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tuntutan pembahagian jawatan Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan oleh Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Azmin menegaskan ia belum dibincangkan.

"Jika terdapat keperluan untuk Amanah menganggotai JKKK atau Ahli Majlis, kita akan duduk berbincang kerana formula (keanggotaan) sebelum ini hanya melibatkan PKR, PAS dan DAP sahaja.

"Kita ambil masa setahun untuk tentukan kuota jawatan ini kepada setiap parti dalam Pakatan Rakyat. Setakat ini, tiada perbincangan untuk pembahagian jawatan kepada Parti Amanah Rakyat," katanya.

Pada Selasa lepas, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dilaporkan sedang mengadakan beberapa perjumpaan dengan kerajaan negeri dan pemimpin daripada DAP bagi membincangkan kuota jawatan JKKK dan jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan supaya ia turut diberikan kepada parti itu.

Ia susulan penamatan kontrak perkhidmatan kesemua Ahli Majlis Kerajaan Tempatan pada penghujung tahun ini.