Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR) Mohamed Azmin Ali menyatakan kesediaan beliau untuk berdialog bersama kerajaan Barisan Nasional demi masa depan negara.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kesediaan berdialog tersebut bukan berniat untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Malah sesi dialog seumpamanya pada pandangan beliau perlu dibuat dengan mana-mana pihak sahaja termasuk Badan Bukan Kerajaan ( NGO).

“Saya sedia berjumpa dengan siapa sahaja. Ini demi menyumbang ke arah pembangunan negara,”

“Tetapi saya tidak kata saya mahu jumpa UMNO dan membentuk Kerajaan Perpaduan. Nanti lepas ni Utusan spin kata nak bentuk kerajaan perpaduan pula,” kata Azmin pada sidang media selepas perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR ke-9.

Menurutnya pertukaran pendapat di antara pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan ( NGO) melalui sesi dialog amat penting bagi memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan memperbaiki kelemahan pentadbiran.

Azmin mengulas pertanyaan wartawan mengenai kenyataan 'mesra' beliau bersama Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin di laman Twitter.

Sebelum ini Khairy pernah mempelawa Pemuda dari Pakatan Rakyat untuk berdialog.

Sementara itu Azmin menambah Pakatan Rakyat perlu bergerak ke hadapan demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Ini termasuk menyediakan dasar yang meringankan beban masyarakat dari segi ekonomi, kos saraf dan pembangunan sejagat.

Parti juga katanya perlu memberikan ruang kepada anak muda untuk melahirkan pelapis memerintah Negara.

“Saya gesa agar peluang dan ruang kepada anak muda diberikan lebih banyak. Sokongan anak muda terhadap parti juga sudah meningkat.”

Azmin sebelum itu dalam ucapan dasarnya menggesa PKR untuk tidak membiarkan suasana politik di negara ini buntu dengan konflik dan pertelingkahan yang berpanjangan.

Katanya, semua pihak perlu ada keberanian moral untuk memulakan dialog politik yang melangkaui perbezaan politik.

Sementara itu PKR juga mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan kertas undi pos secara terus kepada petugas media.

Azmin berkata sistem tersebut perlu diubah memandangkan pemberian kertas undi melalui pejabat pos tidak menyakinkan.

“Kertas undi perlu dihantar terus bukannya melalui pejabat pos. Melalui pejabat pos di sana kita tiada saksi, tiada pemerhati. Maka proses ini tidak telus.”

Justeru katanya, sistem undi pos perlu dirombak bagi memastikan pilihan raya akan datang dapat dijalankan dengan telus.