Badan Peguam Malaysia lulus usul gesa Peguam Negara letak jawatan

Astro Awani
Mac 19, 2016 12:56 MYT
Steven Thiru akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai usul tersebut. - Gambar fail
Ahli-ahli Badan Peguam Malaysia telah mengundi untuk meluluskan satu usul yang menggesa perletakan jawatan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Usul itu menggesa Apandi untuk meletak jawatan sebagai Peguam Negara “untuk kebaikan Malaysia dan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi terhadap kedaulatan undang-undang, khususnya pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia,” lapor Malaysiakini.
Ia berikutan keputusannya untuk tidak meneruskan dakwaaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes deposit wang yang besar ke akaun milik Najib.
Usul itu turut menggesa perletakan Apandi sebagai pengarah Lembaga Tabung Haji dan apa-apa jawatan dalam mana-mana syarikat, badan berkanun dan entiti undang-undang, melainkan jika dikehendaki secara khusus oleh undang-undang.
"Peguam negara juga pendakwa raya, tidak boleh menjadi pengarah mana-mana entiti undang-undang, kerana ini akan menjejaskan kebebasannya," menurut usul tersebut.
Badan itu juga akan menggalakkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas untuk memilih dan mencadangkan calon-calon untuk jawatan peguam negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Apandi.
Presidennya, Steven Thiru berkata dalam permohonan itu, Majlis Peguam mahu agar keputusan Apandi yang 'membersihkan' Najib daripada sebarang pertuduhan pada 26 Januari lalu diketepikan.
"Badan peguam mahu mahkamah menghalang Peguam Negara daripada membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain membenarkan Peguam Cara Negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama ada mendakwa Najib atau tidak,” kata beliau.
#Badan Peguam Malaysia #Mohamed Apandi Ali #Najib Razak #usul gesa Apandi letak jawatan