SEPERTI digambarkan oleh media antarabangsa, Presiden Biden terpaksa memberi fokus untuk menyelesaikan kekacauan legasi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Trump.

Walaubagaimanapun, analisa seperti ini perlu diperhalusi. Hal ini dapat disingkap melalui pelantikan yang baharu diumumkan oleh Presiden Biden bagi jabatan berkaitan Indo-Pasifik.

Pertama, pelantikan Anthony Blinken sebagai Setiausaha Negara jelas menunjukkan hubungan baik yang wujud antara Presiden Biden dan Blinken.

Malah, Blinken sebelum pernah berkhidmat sebagai Timbalan Penasihat Keselamatan Negara (Deputy National Security Advisor) bagi Presiden Biden ketika beliau menjawat Timbalan Presiden di bawah pentadbiran Obama (2008-2016).

Jika jangka masa seminggu dianggap sebagai selama-lamanya, seperti diungkapkan oleh mantan Perdana Menteri British Harold Macmillan, maka hubungan di antara Presiden Biden dan Anthony adalah kerjasama strategik erat.

Ini adalah nilai tambah dan menurut sudut pandang peminat Star Trek, kerjasama ini adalah “minda lebur” dan menunjukkan bahawa Biden dan Blinken mempunyai perancangan rapi bagi urus tadbir pentas antarabangsa Indo-Pasifik.

Seterusnya, pelantikan kanan yang akan menerajui pentadbiran Biden bersama Blinken adalah pemilihan Kurt Campbell, mantan Timbalan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik di bawah mantan Presiden Obama dan mantan Setiausaha Negara, Hilary Clinton.

Untuk rekod, Campbell merupakan mantan pemegang Kerusi Henry Kissenger di Centre for Strategic and International Studies (CSIS), sebuah pusat pemikir yang mempunyai hubungan institusi dengan Indo-Pacific Command, East-West Institute dan East-West Center serta mempunyai hubungan erat dengan kelompok penggubal dasar di Washington DC dan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat.

Malah, Campbell juga dijangka menjawat jawatan sebagai “Koordinator Hal Ehwal Indo-Pasifik”, menurut laporan Josh Rogins, The Washington Post.

Sepanjang sejarah dalam hubungan luar Amerika Syarikat, jawatan ini belum pernah diwujudkan.

Ini menunjukkan bahawa Presiden Biden berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Indo-Pasifik seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Australia, termasuk Indonesia dan Malaysia dan tidak hanya memberi fokus kepada politik domestik Uncle Sam sahaja.

Jika fokus diberikan kepada politik domestik, maka agensi-agensi berkaitan kesihatan, keselamatan AS seperti Ministry of Health and Human Service, Ministry of Homeland Security, Center for Disease Control, dan National Infectious Diseases Center akan memberi perhatian kepada dasar Job Biden seperti “program vaksinasi”, sebuah pendekatan berbeza oleh mantan Presiden Trump yang menyatakan bahawa beliau akan menetapkan syarat mandatori penggunaan pelitup muka bagi semua rakyat Amerika dan warga asing.

Malah, infrastruktur kesihatan di AS juga perlu menggembleng usaha untuk mengekang virus COVID-19, mengambil kira ancaman variasi baharu yang dikenali sebagai B.1.1.7, iaitu mutasi berasal daripada Sars Cov II dan mempunyai kadar jangkitan sebanyak 70 peratus (berpunca daripada lapisan luar virus; rujuk sumber berikut: (More infectious coronavirus variants will emerge, disease expert predicts - https://on.ft.com/3bAKE1u via @FT).

Ketiga, Anthony Blinken bersama-sama Kurt Campbell sebelum ini pernah bekerja bersama Ely Ratner, mantan Timbalan Penasihat kepada Presiden Biden berkaitan hal ehwal China sebelum ini.

Kurt Campbell, turut dikenali sebagai Mr. Pivot, ketika beliau menetapkan bahawa pentadbiran Obama seharusnya meletakkan keutamaan terhadap hubungan Trans-Pasifik, berbanding Trans-Atlantik, Timur Tengah dan Russia.

Tidak dinafikan bahawa kesemua rantau penting bagi Amerika Syarikat, walaubagaimanapun, Ely Ratner dan Kurt Campbell percaya bahawa Amerika seharusnya memainkan peranan penting di Asia Pasifik kerana Beijing mempunyai potensi untuk mencabar kepentingan Amerika sebagai kuasa besar dunia melalui pentas Asia.

Jika Presiden Biden memilih untuk meneruskan dasar-dasar oleh pentadbiran Trump, sama ada dalam isu perdagangan dan perkongsian bebanan keselamatan serantau, pastinya Presiden Biden tidak menggunapakai terma “Indo-Pasifik” sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.

Jika Presiden Biden tidak menggunapakai terma “Indo-Pasifik”, beliau boleh menggunakan terma-terma seperti Pacific Rim, Pacific Asia, Pacific Basin atau Pacific-Asia.

Ini adalah terma-terma dan konsep yang sering dirujuk oleh penggubal dasar serantau sejak 1960-an, terutamanya oleh para cendekiawan dan penganalisa strategik di Australian National University (ANU).

Malah, ketika pentadbiran Trump telah membocorkan dokumen berkaitan cita-cita AS untuk meneruskan Strategi Indo-Pasifik bagi tempoh 30 tahun akan datang, sebelum beliau meninggalkan White House dan telah berkongsi dokumen berkenaan kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC), berbanding Fox News Network, tiada siapapun daripada pentadbiran Biden menyangkal.

Mereka sedar bahawa dokumen tersebut telah dikongsi kepada Professor Rory Metcalf, penasihat kepada Perdana Menteri Australia yang telah memberi khidmat nasihat kepada kerajaan Australia, termasuk kepada mantan Perdana Menteri Malcolm Turnbull dan Perdana Menteri Scoot Morrison untuk memperluas dan memperkasa kehadiran ketenteraan AS dan Australia di Indo-Pasifik, dari Lautan Hindi ke Lautan China Selatan; kedudukan kini yang didominasi oleh China.

Kebocoran maklumat berkaitan Strategi Indo-Pasifik turut tidak mendapat reaksi negatif dari kerajaan-kerajaan di Asia.

Hal ini kerana dokumen tersebut merupakan komitmen AS untuk meneruskan “keutamaan strategik” di rantau Indo-Pasifik, tanpa membelakangi ASEAN Centrality.

Bagi jangka masa pendek, bergantung kepada kejayaan program vaksinasi diseluruh dunia, pentadbiran Biden tidak semestinya menggunapakai pendekataan “shuttle diplomacy”, kerana ia hanya akan meningkatkan kadar kejangkitan COVID-19.

Malah, mereka seharusnya diberikan keutamaan untuk divaksin, sepertimana dilakukan oleh kebanyakan pemimpin di rantau Indo-Pasifik.

Jika vaksin berjaya, ini sekali gus akan menutup ruang untuk berlakunya waktu janggal ketika bermesyuarat secara maya dan dapat mempertingkatkan sentuhan peribadi dalam membuat keputusan dasar, terutamanya apabila ia melibatkan isu-isu strategik antarabangsa.

Tuntasnya, Indo-Pasifik akan sentiasa menjadi keutamaan bagi Amerika Syarikat, walaupun Presiden Biden perlu memperbaiki hubungan-hubungan diplomatik yang telah dirosakkan oleh pentadbiran Trump sebelum ini.

Malah, ura-ura turut bertiup kencang bahawa Kesatuan Eropah sedang merangka kerjasama strategik untuk membentuk E3, merujuk kepada tiga kuasa besar Eropah iaitu United Kingdom, Jerman dan Perancis (E3 – European Three) dan sudah pasti Amerika Syarikat akan memainkan peranan yang besar.


* Phar Kim Beng ialah Ketua Eksekutif & Pengasas Strategic Pan Indo-Pacific Arean (SPIPA).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.