KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun perlu mematuhi Peraturan Mesyuarat (PM) 18 Dewan Rakyat berkait usul untuk membahaskan bencana banjir yang melanda negara.

Pengasas Pergerakan RAPERA, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berpandangan, PM100 Dewan Rakyat tidak boleh terpakai dalam situasi yang berlaku pada Isnin lalu.

"Beberapa peguam berpendapat PM100 membolehkan Speaker meneruskan  perbahasan isu banjir walaupun usul tidak dikemukakan.

"Dengan hormatnya, saya tidak bersetuju kerana PM100 hanya terpakai kepada situasi apabila tiada peruntukan lain yang boleh digunakan untuk situasi tertentu.

"Dengan wujudnya peruntukan yang jelas di bawah PM18, Speaker perlu mematuhi Perintah ini. Mesti ada peraturan yang mengawal selia walaupun ia melibatkan Speaker," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir Selangor: Angka korban mencecah 24 orang - MB

BACA: Tiada seorang pun Ahli Parlimen beri notis bahas isu banjir - Azhar

BACA: Banjir: Ahli Parlimen mahu menteri beri penjelasan, lewat tangani isu banjir

Jahaberdeen yang juga peguam cara dan peguam bela berkata, mana-mana ahli Parlimen boleh dengan mudah memberi notis awal tentang hasrat mereka untuk membahaskan perkara itu supaya Speaker boleh memberi notis kepada agensi kerajaan yang berkaitan untuk menjawab melalui menteri berkenaan.

Pada Isnin, Azhar dilapor tidak membenarkan isu banjir dibahaskan di Dewan Rakyat susulan tiada usul dikemukakan oleh mana-mana Ahli Parlimen.

Azhar berkata beliau tidak menerima sebarang usul berkaitan isu banjir, sekali gus tidak boleh meneruskan perjalanan Parlimen seperti yang ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).