DUNGUN: Segera baiki jalan raya di laluan pintas Kampung Tok Kah-Lentang, Dungun yang runtuh sejak awal bulan lalu susulan hujan lebat.

Itu desakan penduduk di kawasan berkenaan berikutan sebahagian jalan juga terpaksa ditutup kepada semua kenderaan berikutan tebing jalan terjejas teruk akibat hakisan.

Menurut penduduk, laluan sepanjang hampir 25 kilometer itu digunakan sebagai laluan pintas untuk ke Bandar Bukit Besi dan Kuala Terengganu.

"Sepatutnya kena baikilah sebab kereta lalu lalang situ, jadi malam pun orang tak nampak.

"Sepatutnya kena letak papan tanda ke, pihak kerajaan tu kena letaklah, naiki jalan semua sebab orang nak lalu kan," kata pemandu lori, Mohd Alif Zulfikar Sutling.

Bagi peniaga, Ahmad Saifudin Saad pula, tebing berkenaan boleh runtuh lagi pada bila-bila masa semasa musim hujan ini.

"Kalau musim yang sekarang ini, kalau hujan masih datang lagi, bila-bila masa boleh runtuh," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Dungun, Anuar Awang ketika dihubungi berkata, runtuhan berkenaan berpunca dari aliran air deras menyebabkan kemusnahan pada sistem saliran.

Sebagai langkah sementara pihaknya telah memasang kanvas bagi mengelak runtuhan berterusan apabila hujan.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikian cerun yang runtuh dijangka dimulakan awal tahun hadapan.