Kerajaan memperuntukkan RM56 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran pada tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malayia 2013-2025 dengan penekanan kepada pemantapan sekolah yang memerlukan bimbingan dan bantuan khusus.

Beliau berkata ia merangkumi peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TEVT) untuk meningkatkan pengambilan pelajar berikutan permohonan diterima jauh mengatasi kemampuan yang boleh disediakan.

"Sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, kerajaan bersetuju meluluskan RM100 juta dengan serta-merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10,000 pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta.

"Di samping itu, RM50 juta juga diperuntukkan kepada MARA bagi pelaksanaan Program TEVT," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 bertema 'Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat di sini, hari ini.