SETELAH 18 bulan Malaysia berada dalam kemelut pandemik COVID-19, kini bersama kebanyakan negara – negara lain, Malaysia berada dalam fasa pembangunan semula ekonomi dan sosio ekonomi negara. Dengan pengenalan Rancangan Malaysia ke 12 baru baru ini dan Belanjawan 2022 tidak lama lagi, banyak persoalan dibangkitkan dalam bagaimana Malaysia akan mengatur langkah untuk pembangunan semula negara khususnya dalam jangka masa 12 hingga 18 bulan yang akan datang.

Turut terbabit dalam aspek pembangunan semula adalah dari sudut sektor keusahawanan negara. Ini adalah penting khususnya bagi Malaysia di mana komposisi bisnes dan perniagaan negara terdiri daripada 98% majoriti penglibatan pengiat dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Justeru itu, pembangunan dan penglibatan para usahawan IKS amat penting dan harus diberi fokus terutamanya dari segi aspek pembangunan ekonomi dan sosio ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang sekiranya kerajaan serius dalam memacu negara ke arah negara yang maju dalam jangkauan 5 hingga 10 tahun lagi.

Baru baru ini juga melalui Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), aspirasi negara adalah untuk melahirkan 5000 para usahawan dan juga 5 usahawan yang berstatus “unicorn”. Acapkali aspirasi seumpama ini di warwarkan, walau bagaimanapun juga, seringkali kita lihat rancangan dan khususnya implementasi inisiatif yang menjurus kepada aspirasi seumpama ini tidak mencapai matlamat dan lebih buruk lagi jika implementasi ini tidak diambil kira sudut jangka masa Panjang dan dari sudut pragmatiknya. Namun demikian, adalah besar harapan bagi Belanjawan 2022, implementasi dan peruntukan kerajaan disalurkan berdasarkan melahirkan bukan saja jumlah usahawan (dari segi kuantiti) malahan perlu dititik beratkan dari aspek melahirkan para usahawan yang bermutu dan kompetitif di peringkat antarabangsa (kualiti).

Justeru itu, apa yang diharapkan untuk Belanjawan 2022 bukan saja dari aspek peruntukan melalui agensi-agensi kerajaan dalam melahirkan usahawan baru malahan juga dari aspek mewujudkan ekosistem yang mampu memberi galakan dan sokongan kepada para usahawan baru ataupun yang lama sudah bergiat untuk terus maju dan menjadi berdaya saing di peringkat global. Secara amnya, ini dapat dilakukan apabila kerajaan mengambil langkah Langkah yang inovatif dalam mencorak dan lebih penting lagi menguruskan dana peruntukan pembangunan sektor keusahawan negara dengan mengambil kira penglibatan lebih efektif dan strategi dari pihak swasta dan barangkali NGO.

Sebagai contoh inisiatif penglibatan pihak swasta dalam kegiatan keusahawanan negara melalui kegiatan pelaburan dan pembudayaan keusahawanan dikalangan rakyat serta pembangunan sahsiah diri yang mungkin boleh dilaksanakan melalui kegiatan NGO yang berkaitan.

Secara tidak langsung, ini dapat mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam melahirkan bukan sahaja jumlah usahawan negara malahan kualiti usahawan usahawan Malaysia. Ini sejajar dengan aspirasi pelan rancangan Malaysia yang ke 12, dalam mengambil kira prinsip “whole government approach” yang mengambil berat akan peranan semua pihak bukan sahaja kerajaan secara spesifik malahan penglibatan semua lapisan masyarakat dan secara tidak langsung mengangkat aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

Dengan ini adalah harapan bahawa Belanjawan 2022 dapat mengambil kira aspek pembangunan ekosistem keusahawanan negara secara holistik dan pragmatik melampaui jumlah dana bagi tahun 2022 sahaja malahan amplifikasi “return on investment” untuk tahun-tahun yang akan datang khususnya dalam fasa pembangunan semula negara pasca pandemic COVID-19 yang kita hadapi buat masa kini.



* Wan Dazriq merupakan seorang penggiat dalam ekosistem dan sektor keusahawanan sosial Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.