Bajet 2022: Guru dapat RM100 insentif khas, tablet percuma untuk pelajar IPT B40

Hasimi Muhamad
Oktober 29, 2021 09:24 MYT
Tengku Zafrul berkata bajet buat pertama kali itu diberikan sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik COVID-19 - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bajet buat pertama kali itu diberikan sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik COVID-19.
Selain itu, bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara, Tengku Zafrul berkata kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.
Bajet 2022 | Insentif khas guru, tablet percuma pelajar B40
BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI BAJET 2022 DI SINI
"Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira- kira RM65 juta.
"Insya-Allah, seramai 600 ribu siswa-siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini.
"Sebagai tambahan, kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat
#Kementerian Pendidikan #Institusi Pengajian Tinggi #Tengku Zafrul #bajet 2022