Bajet 2022: 'Inilah masa kerajaan buktikan suara anak muda didengari' - Pemuda UMNO Subang

Luqman Hariz
Oktober 27, 2021 05:15 MYT
Pemuda UMNO Subang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan Bajet 2022 sebagai peluang untuk memperjuangkan isu-isu yang diketengahkan oleh anak muda. - Foto BERNAMA
PEMUDA UMNO Subang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan Bajet 2022 sebagai peluang untuk memperjuangkan isu-isu yang diketengahkan oleh anak muda.
“Inilah masanya untuk Perdana Menteri buktikan yang suara anak muda didengari oleh pentadbirannya,” kata satu kenyataan di Facebook Pemuda UMNO Subang hari ini.
Kenyataan itu menambah, Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan, akan memperjuangkan isu Skim Jaminan Pekerjaan Anak Muda serta bantuan kewangan untuk Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) dalam bajet yang akan dibentang pada 29 Oktober ini.
Sumber Facebook pemudaumnoSubang
Job Bank atau Jaminan Pekerjaan merupakan sesuatu inisiatif yang amat diperlukan terutamanya anak muda yang kehilangan pekerjaan ketika COVID-19 melanda negara kita ini.
“Kita tahu banyak syarikat yang lebih mementingkan keuntungan tidak mahu mengambil risiko untuk mengambil pekerja.
“Kerajaan harus mengambil tanggungjawab ini sementara menunggu ekonomi kita kembali pulih seperti biasa,” kenyataan itu menyebut.
UMNO Subang menambah sewaktu krisis kewangan 1997, kerajaan telah berbelanja berbilion ringgit untuk menyelamatkan syarikat gergasi.
“Kini pentadbiran di bawah Datuk Seri Ismail Sabri harus ‘improvise’ bantuan dengan membantu syarikat-syarikat sederhana dan kecil yang banyak terkesan akibat COVID-19.
“Kita boleh lihat banyak kedai di sekitar rumah kita tutup dan ini tidak sihat untuk ekonomi negara kita.
“Jika negara jaga ekonomi kecil, ekonomi akan pulih dengan lebih pantas,” tambah kenyataan tersebut.
Saksikan temu bual bersama Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan, penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Yusof Saari dan Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh dalam program khas Bajet 2022 Jumaat, 29 Oktober ini bermula jam 3.00 petang di Astro AWANI.
#bajet 2022 #Pemuda UMNO #Shahril Hamdan #umno subang