KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan, atas keprihatinan dan komitmennya untuk terus mendukung penyampaian perkhidmatan awam melalui inisiatif pembaharuan dalam Bajet 2022.

Presidennya Adnan Mat berkata ini jelas menunjukkan kerajaan tetap komited untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, selain terus menjaga kebajikan golongan itu.

"Cuepacs menghargai setiap inisiatif yang menyentuh secara terus penjawat awam seperti Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700, serta gantian cuti rehat yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari. Cuepacs percaya penjawat awam juga tetap menerima manfaat lain melalui pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam Bajet 2022," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kongres itu juga berharap kerajaan bersifat terbuka dalam membuka pintu rundingan dengan warga pekerja terutama dengan kesatuan sekerja yang menjadi suara dalam menyalurkan segala permasalahan yang dihadapi pekerja.

"Cuepacs berharap kerajaan akan terus membuka pintu rundingan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan melibatkan perkhidmatan awam seperti semakan semula Sistem Saraan Malaysia yang telah digunakan oleh perkhidmatan awam sejak November 2002 serta pelaksanaan gaji minimum yang baharu sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara," katanya.


Sementara itu, S.Subatra Devi, 33, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, menyifatkan bantuan kerajaan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan kepada semua penjawat awam yang gigih menjalankan tugas walaupun berdepan dengan wabak COVID-19, yang telah meragut berpuluh ribu nyawa di negara ini.

Seorang bekas guru di sebuah sekolah di ibu kota yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Zarul, 68, berkata pemberian bantuan kerajaan kepada pesara, dapat membantu meringankan sedikit beban yang dihadapinya ketika ancaman COVID-19.

Ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700, manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan RM350.

Selain itu, gantian cuti rehat juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.


Katanya kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam, antara lain memperuntukkan RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai, dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan, yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

-- BERNAMA