KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengurangkan peruntukan Bajet 2022 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pengurangan berjumlah RM8.568 juta itu melibatkan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

"Pindaan ini berbangkit daripada pengurangan jumlah wang yang diperuntukkan bagi Maksud B.43 yang dinyatakan dalam Jadual kepada Rang Undang-Undang iaitu untuk mengurangkan sebanyak RM8,568,000 daripada jumlah yang diperuntukkan di bawah Kepala Bekalan B. 43 di bawah butiran 040900 - Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT)," katanya ketika mengemukakan usul tersebut.

Pindaan itu melibatkan Fasal 2 Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 iaitu menggantikan perkataan RM156,412,858,800 dengan perkataan RM156,404,290,800.

Usul itu turut mengemukakan pindaan Jadual kepada RUU berkenaan di bawah ruang 'Amaun' bagi Maksud B. 43, dengan menggantikan perkataan '1,776,018,800' dengan perkataan '1,767,450,800'; dan pada 'Jumlah', dengan menggantikan perkataan '156,412,858,800' dengan perkataan '156,404,290,800'.

Antara fungsi PeKT adalah seperti menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat berhubung dasar dan inisiatif di bawah KPKT, mewujudkan komuniti yang bersatu padu dan berdaya saing melalui aktiviti-aktiviti kesejahteraan bandar dan seterusnya memperkasakan komuniti dan generasi yang lebih mampan.

Fungsi lain termasuk memantau dan membantu menggerakkan penglibatan komuniti dalam meningkatkan keharmonian komuniti setempat dan menjalankan kegiatan khidmat nasihat bagi memelihara kebersihan, kesihatan dan alam sekitar di sesebuah komuniti.