KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Bajet 2022, pengangguran merupakan antara fokus utama yang perlu diberi perhatian untuk tahun hadapan, yang juga merupakan tahun pemulihan COVID-19.

Ini termasuklah membabitkan penyediaan pekerjaan untuk golongan muda dan ke arah meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Pandemik yang melanda menjejaskan ekonomi sekali gus memberi kesan terhadap isu pengangguran, di mana peluang pekerjaan baharu semakin berkurangan dan gaji yang ditawarkan pula tidak setimpal.

"Isu mismatch ini isu lama, graduan kita terpaksa melakukan pekerjaan yang tidak sama dengan aliran pengajian. Mereka juga berdepan masalah under employment, iaitu berkelulusan ijazah tetapi bekerja dengan gaji tahap diploma atau sijil.

"Lebih memburukkan situasi ialah selepas pandemik, isu keselamatan ekonomi pula timbul, ada yang rasa tergugat dan tak selamat dengan pekerjaan dan gaji sekarang tetapi untuk bertukar kerja, tiada pula kemahiran yang diperlukan," kata ADUN Semambu, Lee Chean Chung ketika muncul dalam program Bicara Rentas Parti bertajuk Bajet 2022: Anak Muda dan Pekerjaan Kemahiran Tinggi yang disiarkan Astro AWANI, hari ini.

Lee yang juga Bendahari Agung PKR turut menggariskan pembinaan keupayaan sebagai satu perkara yang perlu dilihat semula kerana era pasca pandemik membuka cabaran baharu yang menyaksikan kemahiran yang dimiliki graduan sebelum ini menjadi kurang relevan, dan mencari pekerjaan baharu memerlukan keupayaan yang berbeza.

"Industri dan institut pengajian tinggi perlu duduk berbincang, adakan kolaborasi rapat bagaimana mahu melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri.

"Reskilling juga sekarang (merupakan) satu cabaran dan perkara yang perlu menjadi fokus kerana ini satu cara untuk isi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Kalau kita lihat di Jobstreet, kemahiran paling penting ialah kemahiran berkaitan industri dan revolusi perindustrian 4.0, tetapi cabarannya ialah bagaimana nak memenuhi permintaan itu segera kerana pelajar yang dilatih sekarang memerlukan empat tahun sebelum boleh masuk dalam industri," tambahnya.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berkata, negara sudah mempunyai dasar dan polisi pekerjaan yang baik, namun perlu berusaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

"Kerajaan sudah wujudkan banyak inisiatif, Majlis Pekerjaan Negara, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Global Online Workforce (GLOW), subisidi upah untuk majikan serta pelbagai program upskilling dan reskilling.

"Kekurangannya sekarang ialah kesemua inisiatif ini diuruskan oleh badan yang berbeza.

"Sebagai penambahbaikan, kita boleh usahakan untuk wujudkan satu pusat sehenti supaya memudahkan proses permohonan. Sekarang ini prosesnya banyak dan setiap satu ada cara yang berbeza.

"Ini boleh membuatkan graduan patah semangat, menyerah kalah dan tidak mahu mencuba," katanya.

Ujarnya, apa yang penting kini adalah aspek pelaksanaan kerana semua perancangan dilihat tersusun di atas kertas, namun tidak menjadi seperti yang diharapkan apabila dilaksanakan.


Bicara Rentas Parti - Bajet 2022 | Anak muda & pekerjaan kemahiran tinggi