KUALA LUMPUR: Segala isu fiskal negara akan ditangani dengan segera melalui Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat pertama kali dalam sejarah, pembentangan bajet tahun ini tampil dengan Kenyataan Pra Bajet yang memberi tumpuan kepada cadangan.

"Kerajaan akan terus berpegang pada prinsip ‘pastikan semua tidak ketinggalan' untuk Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya dan dapat memanfaatkan rakyat.

"Dalam pada itu, Bajet 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mengetengahkan segera isu fiskal untuk diselesaikan segera.

"Dan buat pertama kali tahun ini, Kenyataan Pra Bajet juga dibentangkan untuk memberi penekanan kepada cadangan dalam bajet berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Forum Khazanah Megatrends 2021 "The Invention of Tomorrow: Crafting Our New Collective Narrative" secara maya hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berkata, kerajaan juga mengedarkan lima Kertas Perundingan Awam Belanjawan 2022 berkaitan pelbagai masalah pembaharuan struktur.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan akan memastikan polisi yang lebih baik dilaksanakan dalam peralihan daripada fasa pandemik COVID-19 ke endemik.

"Untuk meneruskan perkara ini, kita perlu terima kenyataan bahawa kita tidak lagi boleh kembali kepada kehidupan normal sebelum ini. Sebaliknya, kita perlu bersedia untuk hidup dalam keadaan endemik.

"Kerajaan akan menguatkuasakan polisi yang menerapkan tabiat dan perilaku yang sepatutnya dalam senario ini. Malaysia akan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas.

"Orang ramai perlu menjalankan tanggungjawab itu. Dan sebagai pulangan, kita akan menikmati kebebasan sosial dan ekonomi selaras dengan strategi yang lebih jelas oleh kerajaan," ujarnya.

[TERKINI] Ucaptama Perdana Menteri sempena Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2021