KUALA LUMPUR: Jangan potong atau kurangkan cukai yang dikenakan terhadap golongan berpendapatan tinggi, demikian tegas penganalisis ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Sekiranya ia dilakukan, katanya, beliau percaya Malaysia akan terus merudum menuju keruntuhan, sepertimana yang dialami beberapa negara ketika ini.

“Kita lihat apa yang berlaku di England sekarang. Silap-silap Perdana Menterinya (akan) jatuh kerana ia potong cukai pendapatan peribadi daripada 45 peratus kepada 40 peratus.

“Satu lagi negara yang buat macam ini, potong cukai dan lingkup, adalah Sri Lanka. Ia potong cukai nilai tambah (VAT) dan cukai pendapatan,” kata Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Jadi, apa yang boleh dibuat ialah, tambahkan cukai kepada mereka yang kaya, kata Muhammed dalam program Agenda AWANI pada Isnin, 

Jelas beliau, negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan, serta negara di wilayah Skandinavia, mengenakan cukai yang besar ke atas mereka yang bergaji besar. Kerana itu, menurutnya, perbendaharaan negara-negara itu besar.

Di Malaysia, beliau mendakwa, pencukaian yang dilaksanakan disifatkan lebih terkebelakang atau “regressive.”

Semakin untung dan semakin kaya seseorang itu, cukai yang dikenakan ke atasnya semakin rendah, katanya.

“Saya bagi contoh. Tahun lepas, ada seorang kaya di Malaysia ini, dividen yang diperolehinya lebih kurang RM2 bilion, cukai yang dia bayar, kosong.

“Kalau kita kerja setahun peroleh RM200,000, kita kena bayar cukai. Tetapi, dia ini, dapat RM2 bilion, tak bayar apa-apa.

“Katakan kita cukaikan dia seorang ini 10 peratus cukai kapital atau cukai dividen, kita dapat kutip RM200 juta daripada seorang.

“RM200 juta ini bersamaan dengan cukai yang akan dilaksana pada 1 Jan 2023 ini, orang yang membeli secara dalam talian (pada) harga RM500 ke bawah, kena bayar cukai.”

Daripada situasi itu, beliau berpendapat, jelas bahawa yang orang berpendapatan rendah terus dihimpit cukai walhal sepatutnya ia dikenakan lebih kepada golongan yang terlebih kemampuan.