JEMPOL: Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat adalah bajet yang telah mempunyai dana dan sedia untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia untuk melaksanakan semua perkara di dalam bajet itu dan ia berbeza dengan manifesto kerana ia belum tentu boleh ditunaikan.

“Bajet semalam adalah bajet yang terbesar, bukan saja terbesar tapi mencakupi semua Keluarga Malaysia dan semua mendapat faedah daripada bajet yang diumumkan.

BACA: 'Pilih BN untuk pastikan Bajet 2023 direalisasi' - PM Ismail Sabri

“Jikalau ada pihak yang mengeluarkan manifesto, ia hanya janji, belum tentu boleh ditunaikan tapi bajet yang dibentangkan kerajaan adalah bajet yang telah mempunyai dana dan sedia untuk melaksanakan segala yang dijanjikan.

“Semuanya sudah ditulis dan yang telah diluluskan oleh kerajaan. Jadi percayalah, bajet ini apabila dibentang, pastinya akan dilaksanakan semua janji-janji yang dibuat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Sembilan tahun 2022 di sini pada Sabtu.

Bajet 2023 | Biarpun Parlimen bubar, penyediaan bajet tidak sia-sia

Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau, merangkap Penyelaras Jelajah AKM Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 yang terbesar dalam sejarah iaitu berjumlah RM372.3 bilion.

Bajet 2023 | Persiapan negara hadapi ekonomi tidak menentu tahun hadapan

Jumlah terbaharu itu merupakan peningkatan ketara berbanding Bajet 2022 yang memperuntukan RM332 bilion, manakala Bajet 2021 bernilai RM322 bilion.

Bajet 2023 adalah kedua di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September tahun lepas.