SERIAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memohon pertambahan bajet bagi tahun 2023 berfokus kepada Program ‘Community Drumming’, Program Penstabilan Harga, serta Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan peruntukan diperlukan lebih tinggi berbanding bajet 2022 sejumlah RM31 bilion itu penting melihat kepada inflasi dunia yang mempengaruhi harga barangan mentah selain masih melalui fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Tambah Alexander, program ‘Community Drumming’ misalnya antara program besar yang memerlukan peruntukan tinggi bagi membiayai kos logistik untuk menghantar barang keperluan asas ke tempat jualan (POS) di luar bandar.

“Kita ada mohon penambahan sebab kita dalam keadaan pemulihan ekonomi dan rakyat masih merasakan terkesan secara negatif daripada pandemik COVID-19 sebab itu kita ada pelbagai program membantu dalam merancakkan ekonomi peniaga serta pengusaha kecil dan juga rakyat jelata yang memerlukan subsidi ayam, telur dan sebagainya.

“Untuk menangani inflasi ini ia merentas pelbagai kementerian jadi yang ketara adalah untuk harga barang keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak, itu memang program yang besar.

"Minyak masak yang diberi subsidi RM2.50 satu kilogram polibeg itu memang diteruskan... dan ini menelan belanja begitu besar kerana ia berdasarkan kepada harga minyak sawit di peringkat global, CPO (minyak sawit mentah) dan kalau harga tu tinggi memang besar lah bajet diperlukan tetapi ia bergerak mengikut paras harga dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Kampung Bunan dekat sini pada Ahad. 

Program yang dilaksanakan sejak tahun 2009 itu telah membantu menstabilkan harga di kawasan sukar diakses yang mana masih ada lokasi-lokasi yang perlu ditambah dalam senarai POS tersebut.

Belanjawan Negara 2023 akan dibentangkan semasa persidangan parlimen pada 7 Oktober depan, lebih awal berbanding takwim Dewan Rakyat yang menjadualkan pembentangan pada 28 Oktober 2022.