KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini memberi nafas lega dan menghilangkan sedikit keresahan kepada banyak pihak termasuk golongan pertengahan, M40 di negara ini.

Ketua Cukai KPMG Malaysia, Soh Lian Seng berkata, kerajaan menerusi bajet dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” berusaha menambah pendapatan boleh guna yang dapat dimanfaatkan oleh golongan tersebut.

“Jika kita lihat pembentangan bajet pada tahun lalu, golongan ini tidak diberi tumpuan seperti mana diterima oleh kumpulan B40… bagaimanapun menerusi peruntukkan bajet kali ini golongan M40 diberikan lebih banyak pendapatan boleh guna.

“Langkah pengurangan kadar cukai dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 hingga RM100,000 ini pastinya turut membantu kerajaan dalam memacu perkembangan ekonomi negara,” katanya ketika menjadi tetamu di program Notepad with Ibrahim Sani pada Sabtu.

Ibrahim Sani's Notepad - Budget 2023 | Fiscal prudence or growth oriented?

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin yang turut memanfaatkan kepada satu juta pembayar cukai.

Intipati tersebut memberi khabar gembira kepada golongan M40 apabila banjaran pendapatan bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000, kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus.

Manakala, banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000, kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus.

Tidak hanya itu, Menteri Kewangan juga memaklumkan inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak RM100 bagi golongan itu yang berpendapatan tahunan di bawah RM100,000.

Bantuan yang turut bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai tersebut dianggarkan memanfaatkan seramai lapan juta individu layak menuntut kredit ini dengan peruntukan disediakan RM800 juta.

Dalam pada itu, ditanya berkaitan keupayaan kerajaan dalam melaksanakan bajet 2023 yang dikatakan tertinggi dalam sejarah negara dan impaknya terhadap isi rumah, Lian Seng berkata, adalah perlu untuk kerajaan memperkenalkan cukai baharu.

“Jika kita lihat pada tahun ini, tiada cukai besar yang diperkenalkan… maka memandang kepada perspektif khususnya kelestarian pendapatan negara, terdapat keperluan untuk kerajaan memikirkan aliran masuk wang dengan mengenakan cukai baharu.

“Seperti kita tahu, sebelum Bajet 2023 dibentangkan lagi sudah heboh spekulasi terhadap pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST)… secara peribadi saya tidak menidakkan kemungkinan suatu masa kerajaan akan melihat aspek keperluan untuk melaksanakannya semula,” ujarnya.

Cukai GST diperkenalkan pada 1 April 2015 di bawah pemerintahan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun sistem tersebut kemudiannya dihapuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan tidak lama selepas memerintah.