Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan bakal calon yang tidak terpilih mewakili parti merupakan mereka yang paling kuat merajuk berbanding entiti lain di dalam parti.

"Ramai yang harap menjadi calon. Tinggi harapan, tinggi jugalah rajuknya. Antara mereka yang disebut-sebut bakal menjadi calon, pasti satu sahaja yang bakal terpilih," jelas Rafidah dalam sebuah wawancara di televisyen.

Bekas Ketua Wanita Umno itu turut menambah pengikut masing-masing yang akan kuat menghasut dan menaikkan semangat.

"Daripada hal itu mungkin berlakunya sabotaj seperti berpaling menyokong pembangkang, menabur fitnah dan enggan membuka bilik gerakan. Merajuk tak salah, namun mesti keluar pada hari pengundian dan jangan sabotaj parti," tambah Rafidah lagi.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar itu turut menegaskan ramai yang ingin menceburi bidang politik pada masa kini adalah kerana ingin mendapat kuasa meskipun berada di parti pembangkang.

Dalam wawancara selama satu jam itu juga, Rafidah sempat memberi pesanan kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) agar 'Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar'.

"Kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang menjangkaui aspirasi generasi muda. Barisan Nasional (BN) komited untuk merealisasikan Wawasan 2020 meskipun pelancarannya pada 1990 merupakan perancangan untuk 30 tahun ke depan," ujar Rafidah yang telah menceburi bidang politik sejak 33 tahun yang lalu.

Antara ahli politik yang telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding walaupun tidak dicalonkan oleh parti ialah Datuk Seri Mohd Shariff Omar, Ong Tee Keat dan Ibrahim Ali.

Tan Sri Rafidah Aziz melontarkan pandangannya dalam sebuah wawancara Landskap PRU-13 yang disiarkan secara langsung di TV1.