JOHOR BAHRU: Jemaah haji yang bakal berlepas ke tanah suci dinasihatkan untuk lebih berhati-hati terhadap penularan wabak COVID-19 agar mereka tidak terlepas peluang menunaikan ibadah haji. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, peringatan itu dibuat susulan tiga bakal jemaah haji dalam kumpulan pertama yang dijadual berlepas ke tanah suci pada Sabtu didapati positif COVID-19.

Beliau turut menggesa, bagi para jemaah yang menghadiri atau mengadakan sebarang majlis keramaian untuk mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan.

"Sebab itu saya mengharapkan supaya para jemaah haji, dimaklumkan apabila program yang mereka buat, mungkin waktu itu mereka ada sambut tetamu yang tak sihat yang menyebabkan berlakunya penyebaran wabak. Hendak buat kenduri tak apa tetapi kalau boleh jaga prosedur operasi standard. Bimbang ia akan menjejaskan penerbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutup Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan di Skudai, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai status tiga jemaah haji yang terlepas penerbangan pada Sabtu (4 Jun) selepas disahkan positif COVID-19, beliau memaklumkan, ketiga-tiga jemaah itu berkemungkinan masih boleh menunaikan haji.

"Jika positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan ibadah haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) sama ada awal 2 atau 3 Julai nanti. Selepas mereka habis kuarantin, sekiranya mereka sihat Insya-Allah boleh terbang (ikut kumpulan lain)," katanya.