Balik Gawai: Penumpang dijangka meningkat, operator bas dan bot ekspres perlu mohon penambahan perjalanan

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 30, 2022 09:05 MYT
LSS telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Hari Gawai fasa satu bermula 28 Mei lalu di semua terminal bot penumpang, fasiliti pelabuhan perahu panjang, dan jeti di sungai-sungai utama. -Foto Bernama
KUCHING: Setiap syarikat operator bot dan bas ekspres di seluruh Sarawak digesa untuk mengemukakan permohonan penambahan perjalanan sepanjang musim perayaan Gawai yang akan datang.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata permohonan itu perlu dibuat sekiranya berlaku peningkatan permintaan daripada pengguna sepanjang tempoh perayaan.
“Syarikat bas ekspres boleh membuat permohonan kepada Lembaga Pelesanan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sementara operator ekspres boleh mengemukkan permohonan kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS),” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya LSS juga telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Hari Gawai fasa satu bermula 28 Mei lalu di semua terminal bot penumpang, fasiliti pelabuhan perahu panjang, dan setiap pelabuhan atau jeti di sungai-sungai utama.
“Sementara fasa kedua operasi akan bermula pada 3 sehingga 5 Jun melibatkan 72 pegawai daripada LSS dan 15 bot penguatkuasa juga akan digerakkan sepanjang operasi berjalan.
“Kita mahu semua penumpang mendaftar di kaunter sebelum ke kawasan pelepasan, mengelakkan kesesakan di dalam bot ekspres, penggunaan jaket keselamatan juga kepada penumpang di dalam perahu panjang,” katanya.
Kim Shin turut mengingatkan semua pengembara untuk merancang perjalanan, dan mematuhi peraturan trafik yang digunapakai terutama di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo.
“Pihak JPJ dan polis juga akan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan terpilih, dan kita menyeru agar pengguna kenderaan tidak meletakkan kanak-kanak di bahagian tempat duduk depan kenderaan.
“Penunggang motosikal dinasihatkan menggunakan jaket pantul cahaya dan mengelakkan daripada memotong dalam keadaan trafik yang sesak serta berhenti rehat sekiranya mengalami kepenatan atau mengantuk dalam perjalanan,” ujarnya.
#gawai #Datuk Seri Lee Kim Shin #bas ekspres #bot ekspres