REMBAU: Kira-kira 10 bilik asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Datuk Haji Abu Hassan Hj Sail, Pedas, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, turut melibatkan bahagian bumbung dan dinding sebuah kelas di blok bersebelahan.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Arif Ahmad Osasi  berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Kebakaran melibatkan lebih kurang 10 bilik bangunan sekolah asrama lelaki di tingkat tiga yang berkeluasan 40 X 200 kaki persegi musnah terbakar 80 peratus.

“Bagaimanapun tiada penghuni di asrama tersebut. Bahagian bumbung dan dinding bangunan bilik kelas di blok C turut musnah kira-kira satu peratus dan api sempat dipadamkan oleh guru sekolah tersebut menggunakan tiga alat pemadam api,” katanya  ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.18 tengah hari sebelum empat jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Kota dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Api berjaya dikawal pada jam 2.32 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya.